PUTRAJAYA:
Penyertaan orang awam dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sangat mengagumkan, malah menunjukkan peningkatan lebih 120 peratus menjadikan sejumlah 194,321 orang Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA) di seluruh negara sehingga kini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak penyertaan rakyat sebagai sukarelawan pertahanan awam, sekali gus menunjukkan semangat yang tinggi terutama anak muda.
Menurutnya, angka itu belum mengambil kira sejumlah 265,282 orang awam yang diberikan pendedahan mengenai kesedaran dan kemahiran menghadapi kecemasan dan bencana setempat melalui Komponen Kesiapsiagaan Awam, Pertahanan Menyeluruh (Hanruh).“Hampir 98 peratus perkhidmatan JPAM baik dalam perkhidmatan MERS999, Pasukan Penyelamat Pantai, operasi bencana dan khidmat kemanusiaan dilaksanakan adalah didukung anggota sukarela,” katanya, berucap merasmikan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-59, di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah JPAM merangkap Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid. Majlis itu bertema JPAM Penggerak Gelombang Kesukarelaan, turut menyaksikan upacara pemakaian pangkat kepada penerima terpilih, antaranya Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, masing-masing menerima pangkat Kolonel Kehormat.
JPAM mempunyai 1,154 penjawat awam tetap ketika ini melatih 71 Pasukan Bertindak Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) membabitkan 2,512 anggota di kilang dan syarikat serta 45,010 orang Kadet Pertahanan Awam (KAPA) di sekolah rendah.
Malah, seramai 13,336 orang Pelatih Institusi Latihan Kemahiran Pertahanan Awam (PISPA), 619 orang Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) dan 14,591 siswa di 25 institusi pengajian tinggi diberikan pendedahan melalui kokurikulum Pertahanan Awam. Hishammuddin berkata, dengan kekuatan anggota sukarelawan terlatih lebih 190,000 orang, lebih 73,000 pelatih dan lebih 260,000 orang awam yang didedahkan dengan ilmu pertahanan awam, tidak salah untuk menyatakan JPAM pasukan sukarelawan rakyat di barisan paling depan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana.
“Paling penting di negara ini semuanya ini dilakukan bukan oleh anggota tetap sebuah jabatan kerajaan semata-mata tetapi dibantu dan disokong melalui gerakan sukarelawan yang membabitkan rakyat,” katanya. Menurutnya, selain itu JPAM tidak ketinggalan menjalinkan hubungan kerjasama dan pakatan strategik dengan pelbagai agensi termasuk di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO).“Satu kesepakatan dibentuk di peringkat pusat antara JPAM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam merencana keseragaman perancangan serta perlaksanaan operasi kecemasan mahupun bencana.
“Hubungan kerja bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga akan ditingkatkan melalui beberapa siri latihan bersama. “JPAM juga menjalinkan hubungan lebih erat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada mangsa kecemasan mahupun bencana khususnya ketika banjir.“(Malah) JPAM bekerjasama dengan Asian Network for Major Cities 21 (ANMC21) berpusat di Tokyo dan Asian Disaster Preparedness Center (ADPC) berpusat di Bangkok bagi memberi platform berguna menimba pengetahuan dalam perancangan dan teknologi pengurusan bencana,” katanya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Tambahahli120peratus/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
TERIMA KASIH