Selasa, 27 Mac 2012

JPAM Gua Musang Bakal Memperolehi Bangunan Pejabat Dan Kem Latihan Sendiri

GUA MUSANG: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gua Musang akan mempunyai bangunan pejabat dan kawasan latihan sendiri yang dijangka akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) membabitkan kos sebanyak RM4 juta.

Pejabat dan kem latihan itu dibina di kawasan seluas dua hektar terletak bersebelahan dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang.

Pengarah JPAM Kelantan, Zainuddin Hussin, berkata JPAM Gua Musang kini beroperasi di Bangunan Gunasama Bandar Baru dan latihan kawad juga diadakan di hadapan bangunan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun keadaan itu tidak selesa kerana tidak mempunyai padang kawadnya sendiri, namun latihan tetap dijalankan.

"Sepatutnya kem bersama pejabat JPAM Gua Musang itu dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tetapi terpaksa ditangguhkan ke RMK-10," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Zainuddin berkata sepanjang tahun lalu JPAM Kelantan telah mengambil seramai 1,000 anggota baru menjadikan anggota JPAM di negeri itu kini berjumlah 11,000 orang.

"Keutamaan diberikan kepada remaja yang sihat tubuh badan dan berani menghadapi cabaran terutama ketika menjalankan tugas penyelamat sama ada kemalangan jalan raya mahupun operasi menyelamat yang lain," katanya. Beliau berkata langkah itu bagi menggalakkan lebih ramai remaja menganggotai pasukan itu supaya mereka lebih berdisiplin dan tidak terjebak dengan gejala sosial.- BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH