Isnin, 26 Mac 2012

KDN punyai 1.1 juta belia ( JPAM di Paloh )

KLUANG – Dianggarkan seramai 1.1 juta belia kini sudah menganggotai pelbagai pasukan di bawah Kementerian Dalam Negeri (kdn) termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Skuad Muda Ikatan Relawan (Rela), sukarelawan polis dan skuad Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, jumlah tersebut merangkumi anak-anak belia yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 29 tahun.“Saya rasa ianya lebih besar daripada mereka yang berhasrat untuk berdemonstrasi jalanan. Ini yang dikatakan majoriti dan ini yang mereka hendak membina daripada mahu merosakkan.“Jadi gelombang positif ini, mesti diwujudkan untuk mengimbangi mereka yang mungkin ada berhasrat untuk menghuru-harakan negara,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena sambutan Hari Ulang tahun JPAM ke-60 yang diadakan di Padang Awam Paloh, di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis sambutan tersebut ialah, Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Datuk Wahab Mohd Yasin; Timbalan Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Hoo Seong Chang dan Adun Kahang, Vidyananthan Ramanadhan.

Sementara itu, mengenai JPAM, Hishammuddin berkata, program transformasi yang dilakukan terhadap pasukan itu membuktikan ia bukan retorik, sebaliknya disambut baik oleh generasi muda dan kekal relevan sejak penubuhan 60 tahun lepas. Malah, apabila ditanya adakah 1.1 juta belia itu akan disalurkan ke dalam program 1Malaysia Corp yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu akan dilakukan tetapi penubuhannya lebih besar lagi daripada 1.1 juta belia di bawah KDN.“Walau bagaimanapun, kesemua 1.1 juta belia ini kita akan salurkan kepada program 1Malaysia Corp di mana saya lihat Perdana Menteri sendiri bersemangat untuk menjayakannya.“Ini adalah harapan kita supaya mereka (anak-anak muda) ini dapat disalurkan ke arah itu dan dapat mencorakkan kepimpinan negara pada masa depan, malah JPAM tiada masalah untuk menggunakan pengalaman yang ada ini membantu menjayakan 1Malaysia Corp,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kdn-punyai-1-1-juta-belia-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH